Kempen Touch Your Heart santuni anak yatim, sumbang RM15,000 bantu kurangkan beban

Kuala Lumpur, 1 April 2024 – Menerusi kempen Touch Your Heart, syarikat Planworth Global Factoring Sdn Bhd melancarkan inisiatif membantu golongan yang kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan.

Memberi sumbangan sebanyak RM15,000 yang terdiri daripada tunai RM10,000 beserta barangan keperluan makanan dan duit raya kepada 65 orang penghuni rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Teratak Ummi di Gombak, jelas Pengurus Pemasaran Planworth, Farahdina Mohd Tamrin, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya difahamkan rumah anak yatim dan asnaf ini memerlukan dana mengurus sebanyak RM30,000 sebulan dan dana mereka ini masih lagi tidak mencukupi.

‘Walaupun dari pandangan luaran, kelihatan rumah teres dua tingkat ini agak selesa, tetapi dari segi kelengkapan tempat tinggal dan keperluan harian anak-anak yatim dan asnaf seramai 65 orang ini masih agak daif selain terpaksa bersempit. Justeru itu, pihak kami rasa terpanggil untuk membantu meringankan beban mereka.

“Kami di Planworth akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat kami dengan menganjurkan pelbagai kempen dari semasa ke semasa.

“Kami juga menggalakkan orang ramai termasuk badan-badan korporat yang lain untuk turut sama menghulurkan bantuan bukan sahaja kepada rumah anak yatim dan asnaf Teratak Ummi ini, malahan juga kepada pihak lain yang memerlukan” kata Farahdina ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Asnaf Teratak Ummi di Gombak, Selangor.

Menerusi kempen ini juga, sebanyak 50 peratus daripada yuran pemprosesan bagi pembiayaan daripada Planworth akan disalurkan kepada badan kebajikan yang terpilih.

“Sempena bulan mulia ini, kami mengambil peluang berkongsi rezeki dan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Melalui kempen ini kami berpeluang bekerjasama dengan para pelanggan dalam usaha menyalurkan sumbangan.

“Bagi mana-mana pelanggan yang mendapatkan pembiayaan daripada kami pada bulan Ramadan sehingga Syawal, 50 peratus daripada yuran pemprosesan yang dicaj akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih”.

“Kami percaya kempen ini akan disambut baik oleh para pelanggan kerana selain mendapat pembiayaan dari Planworth, mereka turut menyumbang kepada aktiviti kebajikan,” katanya.

Planworth adalah sebuah institusi kewangan yang berdaftar di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan Kerajaan serta salah satu syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Grand Columbia yang telah beroperasi sejak tahun 1992 di beberapa negara di Asia Pasifik.

Baca Selanjutnya:

https://utusantv.com/2024/04/01/kempen-touch-your-heart-santuni-anak-yatim-sumbang-rm15000-bantu-kurangkan-beban/