PKMM-Planworth Perkasa Kontraktor Melayu Dengan Akses Modal Kerja Lebih Mudah

28 Febuari 2025

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan alternatif tanpa cagaran kepada kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Planworth, peneraju pasaran dalam pembiayaan invois dan rantaian bekalan di Malaysia, turut mengembangkan operasinya ke Singapura. Syarikat ini menawarkan penyelesaian kewangan yang boleh dipercayai, fleksibel dan inovatif kepada vendor serta penyedia perkhidmatan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta merentasi pelbagai industri.

Selain berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan ePerolehan, Planworth juga menyediakan kemudahan pembiayaan pantas kepada pembekal serta penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan agensi kerajaan dan GLC. Di samping meraih pelbagai anugerah, Planworth juga merupakan pemenang Enterprise 50 (E50) 2024 anjuran SME Corp dan diiktiraf dengan 4-bintang Daya Saing SME Untuk Peningkatan (SCORE) yang diakreditasi oleh SME Corp dan MRANTI.

Menerusi kerjasama ini, lebih 60,000 ahli PKMM berpeluang mendapatkan akses kepada fasiliti kewangan yang lebih mudah dan pantas berbanding pinjaman bank konvensional.

Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, berkata inisiatif ini bertujuan membantu kontraktor menangani cabaran utama dalam sektor pembinaan, iaitu memperoleh modal pusingan untuk melaksanakan projek.

“PKMM, selepas melakukan kajian, mendapati Planworth menawarkan alternatif pembiayaan yang lebih fleksibel dan berkesan. Kontraktor boleh memperoleh modal awal melalui pembiayaan invois serta kemudahan pembiayaan pesanan belian, sekali gus membolehkan mereka membuat pembayaran terus kepada pembekal bahan binaan.

“Selain itu, Planworth turut menawarkan kemudahan modal kerja dalam bentuk pinjaman tanpa cagaran, memberikan kontraktor akses kepada dana tunai lebih awal. Ini membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek tanpa bergantung sepenuhnya kepada bank,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian MoU antara PKMM dan Planworth, di sini, hari ini.

Mohd Rosdi turut menjelaskan bahawa cabaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional semakin ketara, terutama bagi kontraktor kecil dan sederhana.

“Bank lebih berhati-hati dalam meluluskan pinjaman kerana mereka menguruskan dana awam. Dengan adanya platform pembiayaan Planworth, proses permohonan menjadi lebih mudah dan cepat, dengan tempoh kelulusan hanya dalam seminggu berbanding tiga bulan melalui bank.

“Kami juga menggalakkan kontraktor di luar PKMM untuk mempertimbangkan program ini dan memanfaatkan peluang pembiayaan yang ditawarkan. Kami mahu memastikan masalah kewangan tidak lagi menjadi penghalang utama dalam pelaksanaan projek pembinaan,” katanya.

Beliau yakin kerjasama ini akan memberi impak positif kepada industri pembinaan tempatan, khususnya dalam meningkatkan daya saing kontraktor Melayu serta memastikan kelangsungan perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy, berkata kerjasama ini dapat membantu mempercepatkan aliran tunai kontraktor dan memastikan projek berjalan lancar tanpa gangguan kewangan.

“Kami komited untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang lebih pantas dan mudah diakses agar kontraktor dapat memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan projek.

“Kami memahami cabaran utama yang dihadapi oleh kontraktor dalam industri pembinaan, terutama dalam mendapatkan modal kerja. Banyak projek tergendala akibat masalah aliran tunai. Dengan fasiliti pembiayaan yang kami sediakan, kontraktor boleh mendapatkan dana dalam tempoh lebih singkat, membantu mereka memenuhi jadual projek dengan lebih efisien,” katanya.

Selain itu, Planworth turut mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor bagi memperkukuhkan kredibiliti kewangan mereka ketika memohon atau membida tender projek. Surat sokongan ini memang banyak permintaan dan semakin mendapat sambutan dalam kalangan kontraktor tempatan serta pembekal perkhidmatan lain yang berurusan dengan agensi kerajaan dan GLC.

Dengan kerjasama strategik ini, PKMM dan Planworth berharap dapat membantu memperkasakan sektor pembinaan tempatan serta memastikan kontraktor, khususnya dalam kalangan PKS, berkembang dengan lebih mampan dan berdaya saing.

Anda boleh baca siaran akhbar media melalui pautan di bawah:

 28 February 2025 – https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2025/02/1366850/pkmm-planworth-perkasa-kontraktor-melayu-akses-modal-kerja-lebih

 19 August 2025 – https://suaramerdeka.com.my/pembiayaan-fleksibel-untuk-kontraktor-pkmm/

 4 March 2025 – https://utusantv.com/2025/03/04/kerjasama-strategik-planworth-pkmm-beri-manfaat-kepada-60000-ahli-kontraktor/#google_vignette

 4 March 2025 – https://malaysiagazette.com/2025/03/04/kerjasama-planworth-beri-manfaat-kepada-60000-ahli-pkmm/

 5 March 2025 – https://www.kosmo.com.my/2025/03/05/planworth-tawar-akses-modal-pusingan-kepada-ahli-pkmm/#google_vignette

 9 March 2025 – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerjasama-planworth-pkmm-tawar-manfaat-kepada-60000-ahli-kontraktor-511701