HARGA MINYAK, KOS MELONJAK: PLANWORTH SEDIA PEMBIAYAAN RM1 BILION BANTU USAHAWAN
14 April 2026

KUALA LUMPUR, 14 APRIL 2026 – Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar dengan kenaikan kos operasi dan tekanan harga bahan api, Planworth Global Factoring Sdn Bhd tampil menyediakan dana pembiayaan sehingga RM1 bilion pada tahun ini bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Langkah itu dilihat tepat pada masanya memandangkan ramai usahawan dan kontraktor berdepan masalah aliran tunai susulan peningkatan kos bahan mentah, logistik serta ketidaktentuan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Andy Kuek berkata, cabaran ekonomi semasa menuntut sokongan kewangan yang lebih pantas dan fleksibel.
“Apabila kos meningkat termasuk kesan harga minyak dan rantaian bekalan, ramai usahawan mula rasa tekanan.
“Bukan sebab tiada projek, tetapi aliran tunai tersekat. Jika tidak ditangani akan menjejaskan keseluruhan perjalanan projek,” katanya.
Andy berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Planworth 2026 baru-baru ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin.
Menurutnya, peranan institusi pembiayaan kini lebih kritikal dalam memastikan projek tidak terbengkalai dan perniagaan terus bergerak.
“Di Planworth, kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi menjadi rakan strategik kepada usahawan bermula dari peringkat tender sehingga projek disiapkan.
“Kami begitu komited, berbanding tahun lalu kami menyediakan dana pembiayaan RM700 juta, tahun ini meningkat kepada RM1 bilion yang dijangka boleh membantu sehingga 1,000 syarikat,” ujarnya.
Sehingga kini, Planworth sudah membantu ribuan perniagaan tempatan dengan jumlah pembiayaan bernilai berbilion ringgit merangkumi pelbagai sektor di seluruh negara.
Sementara itu, Andy turut menegaskan kerjasama erat antara sektor swasta dan kerajaan menjadi faktor penting dalam memastikan ekonomi negara terus kekal mampan.
Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, pendekatan secara bersendirian tidak lagi mencukupi, sebaliknya memerlukan sinergi yang lebih kukuh antara kedua-dua pihak bagi menyokong ekosistem perniagaan secara menyeluruh.
“Peranan kerajaan dalam merangka dasar dan menyediakan peluang perlu disokong oleh keupayaan sektor swasta untuk melaksanakan serta mempercepatkan projek di lapangan.
“Realitinya, akses kepada pembiayaan yang stabil dan cepat akan menentukan sama ada sesebuah perniagaan itu mampu bertahan atau sebaliknya, sekali gus memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Andy menambah, Planworth terus komited terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu golongan memerlukan.
“Dalam keadaan ekonomi mencabar, tanggungjawab kepada masyarakat juga tidak boleh diketepikan,” tegasnya.
Anda boleh membaca kenyataan media penuh di bawah:






