PIKM dan Planworth Jalin Kerjasama Strategik — Lonjak Akses Pembiayaan kepada 1,139 Syarikat Keselamatan Seluruh Negara
02 September 2025

Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth), penerima pelbagai anugerah termasuk SME Corp Enterprise 50 Award 2024, yang juga merupakan peneraju utama dalam pembiayaan invois dan pembiayaan rantaianbekalan di Malaysia. Planworth kini terkenal, semakin popular dan diyakini sebagai penyedia pembiayaan kewangan alternatif yang dipercayai dalam kalangan syarikat tempatan.
Kerjasama ini membuka lembaran baharu kepada syarikat-syarikat kawalan keselamatan tempatan dengan menawarkan akses pembiayaan yang mesra kredit, lebih cekap, pantas, fleksibel dan tersusun tanpa memerlukan cagaran merupakan satu langkah signifikan dalam memperkasa daya tahan kewangan industri ini.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara ini menyaksikan komitmen bersama antara dua organisasi terkemuka dalam usaha menyokong keperluan operasi lebih 1,139 syarikat kawalan keselamatan berdaftar di bawah PIKM, yang rata-ratanya berhadapan dengan cabaran modal kerja dan tekanan aliran tunai, khususnya disebabkan peningkatan kos operasi bulanan serta pertumbuhan perniagaan yang pesat.
Presiden PIKM, Datuk Mohammad Ubaidillah bin Enam @ Iman, menyifatkan inisiatif ini sebagai satu pencetus perubahan untuk industri keselamatan negara.
Planworth telah dipilih sebagai rakan strategik dan penaja rasmi kepada PIKM selepas melalui proses penilaian yang teliti oleh sebuah jawatankuasa khas. Beberapa syarikat pemfaktoran dan pembiayaan alternatif (P2P) telah dijemput untuk dinilai berdasarkan kekuatan produk, tahap daya saing, etika perniagaan, kepuasan serta pengalaman pelanggan, dan juga kebolehpercayaan yang setanding dengan institusi perbankan dari segi perkhidmatan, pelepasan dana pembiayaan, dan pengurusan bayaran balik.
“Melalui kerjasama ini, syarikat keselamatan akhirnya mempunyai saluran pembiayaan kewangan alternatif yang cepat, telus dan boleh dipercayai. Ia bukan sekadar pembiayaan, tetapi satu bentuk sokongan menyeluruh kepada kelangsungan dan pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan dalam menjaga keselamatan awam dan premis strategik negara,” katanya
Kini diiktiraf sebagai peneraju No. 1 dalam pembiayaan kewangan alternatif dan pembiayaan rantaian bekalan terbesar di Malaysia, Planworth terkenal dan dipercayai sebagai institusi kewangan bukan bank yang unggul. Sehingga kini, Planworth telah menyalurkan hampir RM3 bilion melalui lebih 40,000 transaksi pembiayaan, melibatkan kontrak bekalan, perkhidmatan dan kerja bernilai lebih RM4 bilion merentasi pelbagai industri di seluruh negara. Planworth telah membantu ribuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat besar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memenuhi keperluan pembiayaan mereka.
Setakat ini, Planworth telah bertahun-tahun membantu ribuan usahawan, termasuk dalam industri keselamatan, dengan menyokong keperluan pembiayaan syarikat-syarikat kawalan keselamatan sejak sekian lama dan membolehkan banyak syarikat berkembang dengan lebih cepat dan kukuh. Berbekalkan pengalaman mendalam dalam industri, kerjasama strategik bersama PIKM ini mengukuhkan lagi komitmen Planworth untuk memperkasakan sektor keselamatan secara lebih menyeluruh, dan terancang.
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Kuek Andy, berkata:
“Kami percaya bahawa sektor keselamatan memainkan peranan penting dalam infrastruktur ekonomi dan sosial negara. Justeru itu, Planworth komited menyediakan penyelesaian pembiayaan yang cepat dan mesra pelanggan bagi memastikan syarikat keselamatan terus kukuh, berdaya saing dan berkualiti tinggi.
“Sebagai Institusi Kewangan (FI) bukan bank yang berpengalaman, Planworth mempunyai rekod kukuh dalam menyalurkan pembiayaan bernilai jutaan ringgit melalui modal sendiri, disokong pula oleh kemudahan perbankan daripada institusi kewangan ternama sejak sekian lama. Bagi tahun ini, kami telah memperuntukkan dana sebanyak RM800 juta sebagai komitmen jelas untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat yang ingin bergerak lebih pantas, berdaya saing dan yakin ke hadapan.”
Beliau turut menambah bahawa Planworth bukan sekadar penyedia pembiayaan, tetapi rakan strategik yang memahami keperluan unik setiap industri termasuk industri keselamatan yang amat bergantung kepada pembayaran tepat pada masanya, membolehkan para usahawan menumpukan perhatian kepada pengembangan perniagaan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, PIKM dan Planworth turut merancang siri program literasi kewangan dan taklimat pembiayaan bagi membantu ahli PIKM lebih bersedia dalam mengurus kewangan korporat mereka.
Kerjasama ini diyakini mampu meningkatkan daya saing syarikat keselamatan tempatan serta memantapkan kedudukan industri ini sebagai salah satu penyumbang penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara.
Anda boleh baca siaran akhbar media melalui pautan di bawah:






